Friday, May 15, 2009

PAS pun serupa aja !

Saya agak sedih sedikit dengan PAS, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan saya hilang hormat kepada parti yang selama ini melaungkan kepimpinan ulama dan Islam. Perkara tersebut ialah :

1. Sudah mula wujud politik wang dalam pemilihan kepimpinan PAS pada kali ini. Hal ini diakui oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mohamed Daud al-Iraqi. Memberi pelbagai hadiah seperti kain, baju dan lain-lain merupakan ciri politik wang. Sebuah parti Islam tidak seharusnya mempunyai ahli yang mengamalkan politik wang. Yang jelas, ini adalah kesalahan PAS sendiri, tidak perlu menyalahkan orang lain. PAS pada hakikatnya lebih banyak menumpukan kepada politik berbanding dengan urusan dakwah. PAS lupa bahawa tanggungjawab mereka yang sebenarnya adalah berdakwa dan bukan merebut kuasa semata-mata. Berceramah di surau-surau hanyalah sebahagian kecil daripada kerja-kerja dakwah, sebaliknya, mendidik ahli-ahli PAS agar mereka menjauhi maksiat dan dosa adalah perkara pokok. Ustaz-ustaz PAS lebih berseronok mengajar tafsir dan hadis di masjid-masjid, berbanding dengan berdakwah di pedalaman Sabah dan Sarawak untuk mengIslamkan masyarakat asli di sana. Ini bukan tangungjawab UMNO atau kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab PAS yang selama ini begitu kuat mendakwa bahawa UMNO tidak Islamik. Apabila PAS sudah dihinggapi dengan politik wang, jangan salah orang lain atau Anwar Ibrahim, tetapi salahkan diri sendiri, kerana tidak ikhlas dalam perjuangan.

2. Nik Aziz menolak konsep negara perpaduan dengan alasan sudah serik ditipu oleh BN/UMNO. Malah, Nik Aziz menambah, jika UMNO tukar dasar kepada Islam, barulah PAS boleh menerima UMNO kembali. Ini merupakan cakap orang yang tidak ikhlas. DAP dan PKR tidak ada dasar Islam pun, tetapi bagaimana PAS boleh percaya dan yakin kepada mereka? DAP menentang negara Islam dan PKR pula tiada pendirian yang jelas berhubung penubuhan negara Islam, jadi bagaimana PAS boleh bekerjasama dengan mereka? Sehingga sekarang tiada satu pun ahli atau ulama PAS berupaya menjawab persoalan ini. Mengapa dengan DAP mereka boleh tidur sebantal dan mengapa dengan UMNO pula tidak boleh? Nik Aziz turut berkata, jika UMNO mahu PAS bersama mereka, maka berikan kementerian yang penting kepada PAS, seperti Kementerian Kewangan dan Pelajaran. Soalnya, apakah jika PKR dan DAP memerintah negara ini, maka kementerian tersebut akan diberikan kepada PAS juga? atau akan berlaku lebih banyak konflik daripada penyelesaian? PAS mempunyai masalah dalam memahami apa itu "perjuangan Islam".

Ulama-ulama PAS percaya, Islam hanya akan kembali gemilang jika mereka memperoleh kuasa terlebih dahulu, khususnya di Malaysia. Itu salah, fahaman seperti ini terpesong jauh daripada kebenaran. PAS tidak perlu menjadi raja atau Perdana Menteri bagi membuktikan Islam itu syumul, sebaliknya PAS harus menjadi badan dakwah dan ahli-ahlinya harus menjadi model kepada masyarakat dari aspek akhlak dan kejayaan dalam bidang perniagaan. Seperti mana yang pernah dilakukan oleh Al-Arqam pada suatu ketika dahulu. Inilah yang PAS tiada. Yakni, roh dakwah dan akhlak. PAS tidak berupaya mendidik ahli-ahlinya yang hampir satu juta itu, agar menjauhi daripada perbuatan merokok, yang jelas haram di sisi Islam, dan jika soal itu pun PAS tidak berupaya untuk melakukannya, maka bagaimanakah PAS akan berjaya mendidik masyarakat Malaysia secara keseluruhannya? PAS sama sekali tidak akan berjaya menjadi sebuah pertubuhan yang bersifat tajdid seperti mana pertubuhan Ikhwan Muslimin, jika sampai sekarang ahli-ahlinya tidak dididik dengan memahami akhlak Islam yang sebenar dan hanya mengejar kuasa semata-mata. Nik Aziz dan ahli-ahli PAS harus sedar akan semua hal ini. Itu pun jika mereka ikhlas.

3. Jika Nik Aziz tidak suka konsep negara perpaduan, maka Nik Aziz harus dinasihatkan dan ditegur oleh ahli-ahlinya yang ikhlas. Kita hanya memerlukan ulama yang ikhlas berjuang untuk kesatuan dan perpaduan umat Islam. PAS harus faham, Islam hanya akan kuat apabila penganutnya ikhlas dan jujur memperjuangkan Islam. PAS seakan-akan sudah hilang matlamat perjuangannya. PAS kini semakin lesu dalam mempertahakan idealismenya. Mereka menjadi lesu lantaran sudah begitu lama tenggelam dalam sejarah kegemilangan Islam yang lampau. PAS sudah lupa, kuasa bukanlah segala-galanya. Kita tidak boleh lagi terus-menerus hidup dalam bayangan kejayaan Islam pada zaman dahulu, kita harus segera berubah dan memikirkan cara baru untuk Islam terus maju dan berjaya mengalahkan musuh-musuhnya.

4. Nik Aziz juga harus faham, bahawa cara beliau berfikir mungkin sudah jauh ketinggalan. Orang Islam di Malaysia pada ketika ini memerlukan kedamaian dan kesatuan. Islam semakin lemah kerana umat Islam sendiri bertelagah. Dengan orang kafir kita boleh percaya, tetapi dengan orang Islam sendiri kita caci dan maki mereka. Dan bagi penyokong PAS, mereka harus faham, Nik Aziz semakin tua dan bukan semakin muda. Kita harus mengizinkannya untuk bersara dan beri kepercayaan kepada orang muda pula. Mungkin golongan muda ada fikiran dan cara mereka sendiri bagi menangani polimik politik Malaysia yang semakin mencabar pada masa kini. Mungkin juga PAS harus memperkenalkan Mursyidul Amnya yang lebih muda dan memenuhi kehendak dan selera ulama-ulama muda.

1 comment:

  1. Tegur dulu sebelum buat lebih baik daripada buat dulu sebelum tegur.

    ReplyDelete