Monday, May 4, 2009

PAS dimana arah tujunya?

Satu ketika dahulu, apabila disebut sahaja nama Parti Islam Se-Malaysia (Pas), wujud persepsi yang cukup negatif terhadap parti politik berlandaskan Islam itu. Ketegasan parti berkenaan dalam memperjuangkan pembentukan sebuah negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud telah menakutkan ramai pihak khususnya masyarakat bukan Melayu. Kebanyakan daripada mereka melihat Pas sebagai sebuah parti yang fundamentalis dan fanatik.

Namun segalanya berubah selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 lalu.

Kejayaan Pas dalam merobah persepsi masyarakat bukan Melayu dalam menerima pendekatan dan perjuangan politik mereka didorong oleh pelbagai faktor. Antaranya, imej pemimpin-pemimpin Pas yang dilihat lebih sederhana sifatnya berbanding dengan pemimpin UMNO, kesedaran Pas terhadap signifikan dan kepentingan undi bukan Melayu dan isu-isu yang diperjuangkan oleh parti berkenaan yang jika dahulunya hanya tertumpu kepada aspek agama kini juga telah menjurus kepada isu-isu kesejagatan seperti hak asasi manusia, ISA, rasuah dan governance.

Keberanian masyarakat bukan Melayu untuk mengibarkan bendera Pas, menyertai Kelab Penyokong Pas dan memberikan sokongan kepada calon Pas pada beberapa pilihan raya kecil lalu di Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau terbukti bahawa jurang pemisah dan persepsi negatif terhadap parti itu berjaya dikikis. Perkembangan tersebut kini dipantau rapi oleh parti-parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan.

Awal bulan Jun nanti juga, Pas akan melangsungkan Muktamar tahunan mereka yang ke-55. Muktamar Pas kali ini dijangka lebih hangat berbanding muktamar tahun sudah apabila pemilihan pucuk kepemimpinan baru parti dijalankan. Namun pemilihan parti kali ini bukanlah calang-calang pemilihan biasa kerana ia bakal mencorakkan hala tuju Pas untuk tiga tahun berikutnya.

Lebih menarik lagi, beberapa isu berbangkit yang menyelubungi PAS ketika ini seperti pertembungan secara terbuka antara golongan ulama dan fraksi Erdogan (terdiri daripada golongan profesional dan berfahaman liberal) dalam hierarki kepemimpinan parti, isu kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas sudah tentu akan merancak dan mempengaruhi keputusan pemilihan parti nanti.

Apakah Pas akan terus dikuasai oleh golongan ulama seperti mana yang kita lihat sebelum ini? Ataupun adakah golongan profesional pula yang bakal menerajui kepemimpinan parti? Bagaimanakah bentuk kepemimpinan Pas yang akan dijelmakan sekiranya golongan profesional yang berkuasa kelak? Apakah reaksi golongan ulama nanti sekiranya peranan mereka dipinggirkan?

No comments:

Post a Comment